Categories: Acara

300 Peserta Seluruh Asean Dapat Manfaat Pertukaran Ilmu Tadbir Urus Alam Sekitar & Sosial

Perkongsian pintar membabitkan bengkel dan sesi dialog mengenai ilmu serta maklumat berkenaan kaedah meningkatkan kesedaran tentang Tadbir Urus Alam Sekitar dan Sosial (ESG) memberi manfaat kepada lebih 300 peserta negara Asean termasuk Hong Kong dan China.

Turut berkongsi amalan terbaik melestarikan negara, acara anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp) direalisasikan bagi memberi pulangan lebih baik kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini dalam usaha mengurangkan kos operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corporation Malaysia (SME Corp), Rizal Nainy berkata ESG bukan hanya keperluan perniagaan, bahkan inisiatif untuk pengukuhan jenama, selain membantu mengurangkan kos operasi PMKS dalam jangka masa panjang.

“Kebersediaan dengan ESG juga merupakan kelebihan buat PMKS mengakses pasaran tempatan dan global sekali gus mendorong SME Corp Malaysia melancarkan Panduan Pantas ESG bagi memudahkan penerimaan amalan ESG.

“Informasi ini boleh dimuat turun secara percuma di laman web SME Corp. Malaysia bahkan MSME yang aktif mengintegrasikan amalan ini berpotensi menerima anugerah khas di bawah Program Enterprise 50, Anugerah E50 Terbaik untuk Amalan ESG,” katanya.

Majlis pelancaran bertepatan sambutan Hari PKMS Antarabangsa 2024 yang berlangsung di Hotel Sunway Putra, semalam dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Ewon pula berkata, Asean komited mempromosikan kelestarian di rantau ini melalui pelbagai inisiatif. termasuk menggalakkan pemain industri mengamalkan ESG sebagai langkah memperkukuhkan komitmen terhadap Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Agenda itu antaranya adalah menerusi Pembangunan Mampan dan Perjanjian Paris di bawah Rangka Kerja Konvensyen
Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

“Mempercepatkan penerimaan ESG juga merupakan antara inisiatif yang dirancang di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021 – 2025,” katanya.

Pada majlis bertemmakan Memperkasakan Kelestarian PKS, peserta iaitu pegawai kerajaan, pakar ESG, pemilik PMKS, wakil institusi kewangan dan ahli akademi mencari pendekatan mendidik peserta tentang kepentingan amalan ESG, pembangunan strategi ESG, serta pengukuran dan pemantauan prestasi ESG.

Sesi dialog juga menumpukan pada pembangunan cadangan dasar untuk menggalakkan penerimaan amalan ESG dalam kalangan PMKS, berkongsi kisah sepanjang perjalanan ESG, selain menonjolkan usaha kerajaan serta agensi berkaitan di rantau ini.

Penceramah serta pakar terkemuka turut diundang bagi berkongsi pandangan berkenaan amalan terbaik, cabaran, dan cadangan dalam sesi perkongsian.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MECD, Datuk Seri Suriani Ahmad serta Pengarah Besar Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong, Jakarta, Libera Cheng Ching-mon.

XTRA