Anak Bongsu Pelakon Dharma Harun Nafi Enggan Bantu Keluarga, Mahu Tamatkan Pengajian Terlebih Dahulu

Anak bongsu kepada pelakon senior, Dharma Harun Al-Rashid iaitu, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, mahu menamatkan pengajiannya yang berbaki dua bulan sahaja lagi di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Katanya, dia enggan terburu-buru berhenti dari pengajiannya, memandangkan dia merupakan salah seorang pelajar cemerlang dengan keputusan peperiksaan terbaik dalam jurusan Asasi Seni Kreatif.

“Saya adalah pelajar cemerlang dan keputusan peperiksaan juga antara yang terbaik. Jadi, saya disarankan oleh pensyarah supaya habiskan pengajian dulu sebelum mencari kerja tetap untuk menampung kewangan keluarga.

“Oleh itu, saya harus bertahan sampai Ogos depan. Insya-Allah, selepas tamat saja pengajian nanti, saya akan cuba dapatkan kerja tetap dan bayar sewa rumah serta bantu ayah dan keluarga,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Al- Syafiq memaklumkan bahawa masalah kewangan yang dihadapi keluarganya juga turut diketahui oleh Dekan Pusat Pengajian Asasi Aswara iaitu Dr Erdina Nasseri.

Malah, dia juga ada membuat kerja sambilan selepas waktu kelas pengajian bagi membantu keluarganya dari segi kewangan.

“Dekan tahu saya ada masalah kewangan dan dia pun banyak membantu termasuk mendapatkan saya bantuan dari Aswara. Secara peribadi, dekan memang banyak bantu saya selama ini.

“Saya juga sebenarnya ada buat kerja sambilan pada sebelah petang dan malam di kafe sebelum ini untuk mencari pendapatan. Cuma, sekarang ada projek akhir pengajian dan susah sikitlah untuk saya bekerja.

“Apapun, saya tak kisah orang nak cakap apa sebab tahu apa yang saya buat dan Allah juga tahu. Ketika saya bekerja dulu, dapatlah juga RM300 sebulan dan digunakan untuk membayar bil eletrik dan air, serta apa-apa yang patut,” kongsinya.

Terdahulu, Dharma, 68, yang popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja terpaksa akur dengan arahan pemilik rumah sewa untuk mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju, kerana gagal melunaskan bayaran berjumlah M7, 500.

Pelakon yang kini berhadapan masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar itu difahamkan kusut memikirkan bagaimana dia dan dua anaknya, iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq hendak melunaskan tunggakan tersebut berikutan notis sudah dikeluarkan oleh pemilik dan diberi tempoh sehingga akhir bulan ini.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin