Categories: HiburanTrending

Lebih 10 Tahun Mengarah Filem Melayu, Arjin Uppal Hasilkan Naskhah Punjabi Berjudul ‘Saazish’

Sutradara filem, Arjin Uppal memberanikan diri untuk mengarahkan naskhah berjudul Saazish demi menampilkan budaya dan bahasa Punjabi kepada generasi baharu.

Sudah berpengalaman lebih 10 tahun di kerusi sutradara dan menghasilkan filem Melayu seperti Darah Panas, Kerat 14, Aku Bukan Terrorist serta banyak lagi, Arjin mengarahkan Saazish yang bermaksud konspirasi dan dia telah lama menyimpan idea untuk karya ini.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya buat filem Punjabi selepas menjadi pengarah filem Melayu selepas lebih 10 tahun. Sejujurnya, idea nak buat filem Punjabi memang dah ada lama tetapi agak sukar sebab penonton tak ramai, lebih-lebih lagi populasi Punjabi di Malaysia hanyalah minoriti dan bajetnya pula bukannya sedikit.

“Bukan mudah untuk saya dan tenaga produksi nak dapatkan pelakon yang boleh berbahasa Punjabi, bersetuju dari segi bajet, komitmen dan sebagainya. Ada juga pelakon dalam filem ini merupakan kawan saya dan yang pernah bekerja dengan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Arjin mengakui sukar untuk mencari pelakon yang boleh berbahasa Punjabi dan mempunyai bakat lakonan.

“Saya panggil kawan-kawan yang berminat dan ajak mereka ke sesi uji bakat. Semuanya yang dipanggil boleh bercakap bahasa Punjabi namun bakat berlakon juga perlu saya ambil kira.

“Majoriti pelakon dalam filem Saazish adalah pempengaruh dan pelakon baharu. Kami nak beri peluang kepada muka baharu dan ramai dalam karya ini tak pernah berlakon dan ini merupakan kemunculan pertama mereka.

“Bila nak komersialkan, kami cuba tambah beberapa babak dan masukkan pelakon Melayu supaya dapat lebih ramai penonton. Kiranya satu Malaysia,” tambahnya.

Diterbitkan oleh Sri Saheb Production Sdn Bhd, filem Saazish bakal menemui penonton di pawagam bermula 4 Julai ini dibintangi Kulbeer Singh, Avinder Singh, Amaan Singh Virk, Navinder Kaur dan Datuk Adi Putra.

Padin