Black Hanifah Dakwa Terkena Sihir, Dedah Suara ‘Hilang’ Sehingga Terpaksa Jalani Pembedahan – “Suara Hilang, Bila Bercakap Jadi Penat Dan Terputus-Putus”

Penyanyi Black Hanifah memberitahu dia baru saja selesai membuat pembedahan pada 16 Mei lalu ekoran terdapat ketumbuhan pada anak tekaknya (Polyp).

Berkongsi mengenai perkara itu, penyanyi Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad, 36, berkata, kesan daripada ketumbuhan itu, vokal suaranya terjejas hingga menyulitkannya untuk menyanyi mahupun bercakap.

“Saya baru sahaja selesai membuat pembedahan, ramai yang tidak tahu hari ini baru saya reveal kerana saya sudah mula menyanyi. Sebelum ini selama setahun saya tidak boleh menyanyi dan bercakap dengan baik disebabkan masalah Polyph yang berada di anak tekak.

“Jadi selepas pembedahan itu selama tiga bulan saya tidak menyanyi. Dan hari ini di Petaling Jaya ini adalah kali pertama saya membuat persembahan dan menyanyi. So, saya agak gementar.

“Sebenarnya, Polip ni dia seperti ketumbuhan yang ada di anak tekak (vokal chord) kita. Dan ia menyebabkan kita punya pernafasan tak berapa bagus dan bila bercakap kita akan penat dan terputus-putus selain pembedahan itu juga mengambil masa dua hingga tiga jam,” ulasnya.

Ketika disoal kenapa merahsiakan mengenai perkara itu kepada peminat, pelantun lagu Sofea Jane itu bagaimanapun menjelaskan, dia tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi mengenai keadaannya.

Meskipun bimbang dengan keadaan diri, Black juga pernah mendakwa sakit yang dialami adalah akibat terkena perbuatan sihir dek kerana dia sukar untuk mengeluarkan suaranya.

“Mula-mulanya, saya fikir begitu (perbuatan sihir) sebab saya tidak ada sakit, saya tidak ada rasa apa-apa pun ditekak.

“Tapi, saya tidak boleh bercakap dengan baik dan tidak boleh menyanyi langsung dan keluarkan suara pun. Apabila bercakap pun jadi penat serta putus-putus.

“Itu saya dah agak risau sehingga saya juga pernah pergi berubat tradisional dan seterusnya ambil keputusan untuk buat pembedahan. Saya rasa ibarat mati hidup semula,” katanya.

Black berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui XTRA pada majlis sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya Dan Pra Pelancaran International Folklore Festival 2025 yang berlangsung pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Black meluahkan rasa syukur atas nikmat yang diberikan Tuhan untuk dirinya memandangkan dia kini sudah pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah, dalam masa 5 hari yang saya tidak boleh bercakap tu buat saya rasa kalau orang lain tak boleh bercakap aku still boleh bercakap pun tak rasa bersyukur. Jadi, benda-benda macam ni buat saya lagi kuat dan bersyukur walaupun ada ketikanya saya berasa riak kerana kita manusia ada perasaan bangga tu.

“Tapi, alhamdulillah atas segalanya, kerana menyanyi ini minat saya dari kecik. Benda lain saya tak boleh buat, menyanyi ni tak akan boleh diganti dengan benda lain,” kongsinya.

Ditanya mengenai perkembangan terkininya, Black menjelaskan, dia kini sedang dalam perancangan untuk keluar dengan single runut bunyi bagi sebuah drama bersama penyanyi Adira Suhaimi selain sibuk dengan perniagaan yang diusahakan bersama isterinya.

“Saya akan keluar dengan single untuk OST drama dan duet bersama Adira. Bagaimanapun ia masih dalam perbincangan dan selebihnya saya sibuk dengan perniagaan yang diusahakan,” ujarnya.

Salma Syahbuddin