Categories: Hiburan

Selepas Sukses Dengan Pergilah Cinta, Danial Kifli Tampil Dengan Single Musnah

Terkenal menerusi lagu Pergilah Cinta yang berjaya meraih lebih 11 juta tontonan di YouTube, penyanyi Danial Kifli kini memperkenalkan single baharu berjudul Musnah.

Menurut Danial, single Musnah adalah hadiah istimewa buat peminat setia yang sentiasa ternanti-nantikan kesinambungan lagu Pergilah Cinta yang berjaya mencetuskan fenomena sebelum ini.

“Musnah adalah hasil usaha dan kerjasama saya bersama tiga lagi rakan iaitu Amir Hariz, Knight Cydeen dan Hawa Zulaikha.

“Jujurnya saya takut untuk melancarkan single ini kerana Pergilah Cinta berada pada satu tahap yang tinggi dan penerimaannya sangat luar biasa, jadi saya agak gementar untuk melihat maklum balas pendengar untuk single Musnah.

“Tapi Alhamdulillah sebaik muzik video Musnah dilancarkan di YouTube pada 21 Jun lalu, lagu ini terus trending dan kini berada di tangga ke-15.

“Malah jumlah tontonan untuk single ini juga mencatatkan peningkatan yang ketara. Kalau sebelum ini menerusi single Pergilah Cinta jumlah tontonan sekitar 15,000 sehari, tapi Musnah mencecah 25,000 tontonan sehari.

“Saya harap Musnah akan diterima baik sekali gus mencatat satu lagi sejarah baharu untuk portfolio kerjaya saya sebagai pendatang baharu dalam bidang ini,” katanya yang bernaung di bawah Awal Muzik Entertainment.

Tambah Danial, kelainan yang di bawa dalam muzik video Musnah adalah susunan muzik yang lebih moden dan mesra untuk didengari semua lapisan masyarakat.

“Selain itu saya juga cuba memantapkan vokal supaya kehadiran saya terus diterima baik. Saya tidak mahu dilabel sebagai penyanyi syok sendiri atau hanya bersandarkan rupa tapi saya nak dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai pakej lengkap,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Danial berharap Musnah dapat mencipta satu keajaiban iaitu menembusi pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Moga Musnah ada keajaiban yang tersendiri selain terus diterima baik oleh peminat. Saya harap single ini dapat pergi lebih jauh dan terus didengari, bukan saja di Malaysia tetapi di Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Selain itu, sudah tentu saya mengharapkan lagu ini berjaya ke pentas AJL kerana ia menjadi impian setiap penyanyi,” katanya lagi.

Padin