Isu Mesej Lucah Selesai, Hafidz Roshdi & Nurul Shuhada Sepakat Berhenti Sebar Aib Di Media Sosial

Konflik rumah tangga antara pelakon Hafidz Roshdi dan bekas isterinya, Nurul Shuhada semakin rumit apabila kedua-duanya dilihat saling berbalas hantaran menerusi media sosial termasuklah pendedahan beberapa bukti ‘panas’ melibatkan aktor itu.

Bagaimanapun, selepas tular pesanan berbaur lucah melibatkan Hafidz dan penyondol sejak Rabu, aktor itu memaklumkan bahawa isu tersebut telahpun selesai apabila kedua-dua pihak sepakat untuk tidak lagi menyebarkan aib kepada umum.

Memetik laporan mStar, Hafidz menafikan bahawa perbualan yang tular dihantar olehnya kepada individu wanita tersebut.

“Saya menafikan sebab saya tidak pernah ada perbualan seperti itu. Ia tidak berlaku antara saya dengan orang tersebut.

“Benda (mesej lucah) itu telahpun selesai. Pihak saya dan dia sudah bersetuju untuk berdamai dan tidak menyebarkan aib di media sosial,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Hafidz, 30, menegaskan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap bekas isterinya itu sekiranya perkara sama berulang lagi.

“Kalau benda ni berlaku lagi, sebarkan fitnah dan aib saya… maka saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” kongsinya.

Dalam pada itu, berdasarkan pemerhatian XTRA, Shuhada menerusi hantaran di Insta Story miliknya mengesahkan perkara sama apabila memaklumkan dia berada di balai polis untuk menyelesaikan perkara tersebut.

 

Sumber: mStar, Instagram

Salma Syahbuddin