“Itu DM Paling Teruk Pernah Saya Dapat”- Terima Bayaran Hingga RM300,000, Fahimi Rahmat Mengaku Pernah Ditawar Jadi ‘Anak Ikan’

Penyanyi yang popular menerusi lagu Angau, Fahimi Rahmat mendedahkan dia pernah menerima tawaran untuk  ‘dibela’ oleh seorang individu yang tidak dikenali.

Katanya, dia menerima tawaran tersebut menerusi pesanan mesej langsung (DM) di Instagram miliknya.

Menyifatkan ia sebagai pengalaman paling teruk pernah dialaminya, Fahimi bagaimanapun menolak pelawaan tersebut dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak masuk akal.

“Itu DM yang paling teruk yang pernah saya dapat. Dia nak ‘bela’ saya.

“Dia nak bayar saya RM300,000 tapi saya biarkan sahaja. Siapalah nak bayar ratus-ratus ribu dekat saya yang macam ini. Bila tengok dekat situ gambar profil dia perempuan, tapi saya tak layan sebab mengarutlah,” katanya kepada XTRA.

Mengulas lanjut, Fahimi atau nama penuhnya Muhammad Fahimi Rahmat meluahkan rasa syukur apabila lagu yang ditulisnya berjudul, Angau mendapat sambutan yang luar biasa.

Malah,  ada di antara peminatnya yang menjadikan lagu tersebut sebagai salah satu cara untuk memulihkan diri daripada masalah kesihatan mental yang dialami.

“Ramai juga yang DM mesej positif. Ada seorang peminat ini dia mengalami masalah kemurungan dan apabila dia dengar lagu Angau, rasa murung itu berkurang dan dia dapat meningkatkan mood yang lebih baik.

“Alhamdulillah. Bagi saya tercapailah apa yang nak saya sampaikan itu,” kongsinya.

Fahimi berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian sambutan ulang tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-18 yang berlangsung di Laman MBPJ, Selangor baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 27 tahun itu memaklumkan, dia juga bakal melancarkan single terbaharu dan juga merancang untuk mengeluarkan album tidak lama lagi.

“Saya akan keluarkan satu lagi single dan kemudian album. Jangkaannya pada bulan Oktober nanti sekali dengan album.

“Boleh katakan, saya banyak juga buat lagu tapi, banyak yang tersimpan lama. Jadi saya rasa kena keluarkan dan orang boleh dengar hasil nukilan daripada saya sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, Fahimi pernah dikritik gara-gara nyanyiannya yang dikatakan sumbang ketika membuat persembahan di sebuah program televisyen.

Bagaimanapun, kembar kepada komposer Firdaus Rahmat itu tidak terasa dengan kritikan netizen, sebaliknya menghargai setiap komen yang diberikan.

“Saya tak terasa cuma saya bersyukur apabila orang beri teguran pada saya. Itulah apa yang saya rasa.

“Saya tiada masalah dengan itu, setiap orang pasti akan bercakap tentang orang lain juga kan.

“Saya cuma terasa apabila ramai yang mendengar dan ambil berat tentang nyanyian saya, itu semua perspektif orang terhadap saya.

“Saya hargai sangat bila orang masih dengar dan saya terima seadanya, tak terasa sedikit pun,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Dikritik Nyanyi Live Lagu Angau Sumbang, Fahimi Rahmat Tak Terasa… Terhibur Baca Komen Netizen

ARTIKEL BERKAITAN:Terbaring Lagi Di Taman… Trending Di Media Sosial, Jom Kenali Penyanyi Lagu Angau, Fahimi Rahmat

Salma Syahbuddin