“Jangan Terlalu Cepat Menilai, Hidup Ni Penuh Dengan Plot Twist” – Ruhainies

Pelakon sensasi, Ruhainies mencuri perhatian selepas berkongsi video pendek drama terbaharu lakonannya bersama penyanyi Aliff Aziz berjudul Terjerat di Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian tersebut, Ruhainies menyifatkan drama Terjerat yang bakal ditayangkan pada 26 Jun itu adalah naskhah berat yang penuh dengan emosi.

Katanya, penceritaan tersebut membawa maksud yang sangat dalam sekaligus menggambarkan apa yang telah berlaku baru-baru ini.

“Sebuah naskhah berat dan penuh emosi yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

“Sebuah penceritaan yang pada saya membawa maksud yang sangat dalam dan tidak pasti suratan atau kebetulan, storyline nya seakan menggambarkan apa yang telah berlaku baru baru ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, pemilik nama penuh, Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, menitipkan pesanan agar jangan terlalu cepat percayakan sesiapa dan jangan terlalu cepat menilai.

“Jangan terlalu percayakan sesiapa. Dan jangan terlalu cepat menilai. Hidup ni penuh dengan “plot twist”. Bukan semua yang dipaparkan adalah benar. Hanya Allah yang mengetahui.

“Everything we hear is an opinion, not a fact. Everything we see is a perspective, not the truth,” jelasnya.

 

Terdahulu, bintang utama drama Terjerat ini mengejutkan ramai pihak apabila kedua-duanya ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah milik aktres itu pada 9 Mac lalu.

Insiden berkenaan menyebabkan Bella Astillah nekad memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 11 Mac 2024.

Dan, pada 13 Jun lalu, pasangan selebriti kontroversi itu akhirnya sah bercerai dengan talak satu.

Sekadar info, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Salma Syahbuddin