“Jangan Fikir Tak Mahu Cerai Sebab Kesian Pada Anak, Kalau Betul Kesian… Bawa Dia Keluar Dari ‘Circle’ Toksik” – Rita Rudaini

Aktres, Rita Rudaini berkongsi kata-kata semangat buat penyanyi dan pelakon, Bella Astillah atas dasar simpati terhadap nasib menimpa Bella yang berdepan episod keruntuhan rumah tangga baru-baru ini.

Bercakap kepada XTRA, pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mokhtar, 48, itu berkata dia pernah menitipkan semangat supaya ibu kepada dua cahaya mata itu terus kuat demi anak-anak ketika bertemu Bella pada program Melodi Raya 2024.

“Saya tak rapat dengan dia (Bella), cuma saya mengikuti kisahnya yang sudah banyak kali terkena sampai saya jadi letih. Jadi, saya minta untuk beritahu Bella supaya sudahlah.

“Kemudian, saya jumpa Bella semasa program Melodi Raya 2024 dan dia juga memang ada niat hendak jumpa saya. Dia kata sebab hendak ambil kekuatan dan tanya bagaimana saya boleh kuat.

“Saya cakap senang sahaja, kalau hendak kuat tengok anak. Awak hidup untuk siapa? Untuk jaga suami atau jaga anak? Selepas itu, bila tengok sekarang Bella sudah nampak semakin kuat,” katanya.

Rita ditemui pada sesi temuramah bersama pelakon sitkom komedi terbaharu terbitan TV3, Jabatan Call Centre (JCC) di Glenmarie, Shah Alam, semalam.

Rita yang pernah mendirikan rumah tangga bersama pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008, sebelum bercerai talak satu pada September 2013 berkata, dia sama sekali tidak berniat untuk menggalakkan perpisahan.

“Saya bukanlah mahu meraikan atau menggalakkan perceraian, tapi sebagai sahabat industri saya lihat apa yang dia lalui sangat tragis dan sudah banyak kali sudah terkena.

“Ramai orang cakap supaya kesian dekat anak kalau bercerai dan saya paling tak suka itu. Sebenarnya itu salah, kalau betul kesian kepada anak, bawa dia keluar daripada lingkungan toksik.

“Jangan fikir tak mahu cerai sebab kesian kepada anak, kalau macam itu mungkin kamu yang tak boleh hidup tanpa lelaki. Kita wanita perlu kuat,” ujarnya lagi.

Pelakon filem popular Mami Jarum itu turut bersyukur apabila melihat Bella semakin kuat dalam meneruskan kehidupan.

“Selepas itu, saya dan Bella hanya berbalas mesej sahaja. Saya pun tak mahu ganggu dia sebab dah nampak makin baik dan selesa. Jadi, saya tak mahu ganggu dan biarkan dia kuat sendiri,” katanya.

Terdahulu, Rita yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, berkongi kata-kata semangat buat Bella melalui entri di Instagram (IG).

Untuk rekod, Bella dan Aliff Aziz sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Kemelut rumah tangga Bella dan Aliff bermula apabila penyanyi asal Singapura itu ditangkap khalwat bersama aktres, Ruhainies oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium mewah, Pavillion Suites pada 9 Mac lalu.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Khairil Khusyairi