Categories: HiburanTrending

Bakal Sempurnakan Album Tribute Istimewa Allahyarham Achik Spin, Tajul Berduet Dengan Muna Shahirah Dalam Lagu Resipi Berkasih

Penyanyi Tajul kini dalam proses pembikinan projek album tribute istimewa untuk Allahyarham Achik Spin.

Bagi menyempurnakan projek album tribute terbabit, Tajul berduet dengan penyanyi Muna Shahirah dalam lagu Resipi Berkasih yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Spin dan Siti Nordiana.

Menurut Tajul, biarpun Muna merupakan pilihan kedua untuk menjadi rakan duetnya, penyanyi itu berjaya menyampaikan versi baharu lagu Resipi Berkasih ini dengan baik.

“Pada asalnya, syarikat rakaman mencadangkan lagu ini dinyanyikan oleh saya dan Wany Hasrita. Namun akhirnya Muna yang menyampaikan lagu ini.

“Muna berjaya membuat Resipi Berkasih versi baru ini lebih baik. Saya berterima kasih kepada FMC Music kerana mencadangkan agar Muna menggantikan Wany.

“Muna bukan sahaja memberi kerjasama yang baik pada saya, malah Muna mempunyai vokal yang tidak dapat di pertikaikan lagi. Walaupun ini merupakan gandingan pertama kami tetapi saya tak sangka ia berjalan lancar dan sangat mudah,” kata Tajul.

Pernah digandingkan di dalam lagu duet bersama Afieq Shazwan dan Zack Zakwan, Muna tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun, asalkan lagu itu bersesuaian dengan vokalnya.

“Saya sedikit pun tidak merasa kecil hati apabila saya dijadikan pilihan kedua untuk lagu ini kerana saya sedia maklum sebelum ini gandingan duet Tajul adalah Wany Hasrita.

“Saya lebih melihat peluang yang datang ini ke arah positif. Sebab saya yakin setiap aturan yang Allah tetapkan itu tak pernah silap dan pasti lebih baik. Malah saya rasa bangga dapat terlibat dalam projek khas ini,” katanya lagi.

Telah dilancarkan di platform penstriman bulan lepas, muzik video lagu Resipi Berkasih kini berjaya meraih 324,000 tontonan.

Padin