Tolak Kontroversi, Raja Afiq Mahu Naikkan Semula Nama Dengan Bakat Lakonan

Pelakon Raja Afiq sebolehnya ingin mengelakkan kontroversi buruk yang boleh menjejaskan namanya dalam industri hiburan tanah air.

Menurut pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz ini, dia mahu menaikkan namanya semula dalam industri dengan cara yang baik termasuk melalui bakat lakonannya yang ada.

“Saya sebolehnya nak elakkan dari kontroversi atau cerita-cerita panas.

“Sebab once bila kita ada rekod buruk macam itu, sampai bila-bila perkara itu akan tertulis di laman Internet.

“Saya nak naikkan nama saya semula dengan cara yang baik, dengan bakat lakonan yang ada dalam diri saya,” jelas Afiq.

Dalam masa yang sama, Afiq yang ditemui XTRA ketika sidang media Drama Siri Polis Peronda ini turut berpendapat yang masyarakat sekarang lebih ‘mengangkat’ individu yang mempunyai kontroversi berbanding yang berbakat besar.

“Saya sebenarnya tak nak komen lebih-lebih takut tersalah cakap. Tapi saya nampak zaman sekarang ini, yang ada kontroversi dikedepankan, dan bakat makin dilupakan.

“Mungkin sebab itu juga ramai sebenarnya yang berbakat dalam industri kita ini, tetapi agak ‘kebelakang’,” tambah pemilik nama penuh Raja Muhammad Afiq Raja Razali ini.

Jangan lupa saksikan Siri Polis Peronda yang bakal ditayangkan bermula 28 Jun ini, setiap Jumaat jam 10.00 malam dan strim episode Baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Selain Raja Afiq, siri ini turut dibintangi pelakon terkenal seperti Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Soffwany Yusoff, Kodi Rasheed dan ramai lagi.

Dhia Iwana