“Trend ‘Childfree’ Tak Menepati Gaya Hidup Seorang Muslim” – Ustazah Asma’ Harun Luah Rasa Bimbang

Pendakwah selebriti terkenal, Ustazah Asma’ Harun tampil bersuara berhubung isu ‘childfree’ iaitu pasangan suami isteri yang tidak mahu menimang cahaya mata.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ustazah Asma’ meluahkan rasa bimbang dengan trend tersebut yang dikatakan seolah-olah tidak menepati gaya hidup seorang Muslim.

“Gaya hidup sebegini sebenarnya dari barat dan tidak menepati gaya hidup seorang Muslim.

“Dalam Islam kita dituntut untuk mempunyai anak dan mengembangkan zuriat keturunan agar dapat meramaikan dan melahirkan keturunan yang soleh solehah, taat kepada Islam dan menjadi kebanggan Rasulullah SAW.

“Situasi “childfree” ini sangat merisaukan kerana ada dalam kalangan orang Islam sendiri yang faham ia adalah pilihan masing-masing yang sengaja dibuat kerana ingin mengikut trend semasa.

“Bahkan ada juga yang mengatakan disebabkan sekarang faktor ekonomi dan biaya membesarkan anak semakin tinggi, maka ia menjadi satu alasan akhirnya mereka memilih gaya hidup sebegini,” katanya.

Sementara itu, Ustazah Asma’ tidak menafikan membesarkan anak agak membebankan di awal usia, namun mereka adalah pewaris yang akan menjaga ibu bapa sehingga hujung nyawa.

“Perkahwinan adalah ibadah dan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat dituntut. Bahkan dikurniakan zuriat keturunan juga adalah rezeki dari Allah dan pengalamannya sangat bernilai.

“Mempunyai anak memang pada permulaanya sesuatu yang membebankan namun di akhirnya merekalah yang akan menjadi pewaris sah, penyejuk hati untuk menjaga, menyayangi dan mendoakan kita disaat orang lain sibuk dan kita sudah tiada,” katanya lagi.

Artikel Berkaitaan: Kecoh Trend Childfree, Ini Pencerahan Pejabat Mufti

Aqilah Paharuzi