Tuduhan ‘Kaki Kikis’ Wanita Sangat Berat, Taufiq Hanafi Risau Kerjaya Terjejas

Pelakon, Taufiq Hanafi mengakui bimbang sekiranya kontroversi dakwaan ‘kaki kikis’ wanita akan mencemarkan namanya dalam industri hiburan.

Menafikan dakwaan tersebut, Taufiq berkata tuduhan itu terlalu berat sehingga turut mengganggu ibu bapanya.

“Saya sangat terkejut apabila dakwaan tu tiba-tiba muncul, paling kelakar saya tahu mengenai isu tersebut daripada mulut orang lain.

“Tuduhan itu sangat berat sebab sudah membabitkan ahli keluarga saya. Sampaikan ayah saya telefon tanya saya ni tak ada duit sangat ke.

“Sejujurnya, saya risau perkara tersebut menjejaskan reputasi sebab saya mencari rezeki dalam industri ini. Kalau ada benda yang tidak benar dan satu kesalahan akan memberi kesan kepada diri sendiri.

“Apapun, perkara tersebut tidak benar sama sekali,” katanya.

Taufiq berkata demikian ketika ditemui di Malam Gala Filem Siapa Buka Lampu di pusat membeli-belah Bukti Jalil pada Rabu.

Mengulas lebih lanjut, aktor filem popular Paskal ini bagaimanapun masih tidak mengetahui siapakah yang menyebarkan tuduhan tersebut.

“Saya ada berhubung dengan bekas tunang, tetapi kenyataan itu bukan datang dari dia. Bak kata oran, bila ada sesuatu yang kita lakukan tak kena di mata mereka, mulalah ada sesuatu yang akan dilakukan. Wallahualam,” katanya lagi.

Sementara itu, Taufiq berkata dia tidak akan mengambil apa-apa tindakan meskipun sehingga kini namanya seolah-olah ‘dicop’ kaki kikis wanita.

“Ia tidak mengantui saya cuma kadang kala bila saya berkongsi sesuatu di media sosial berkaitan kerja, main TikTok, akan ada komen-komen yang tak elok.

“Tapi, tak mengapalah. Saya hanya mampu doakan yang terbaik. Buat apa nak tambahkan minyak ke dalam api. Lebih baik saya diam sahaja, kalau bertindak ikut emosi bahaya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: Nama Dipetik Kikis Duit Wanita, Taufiq Hanafi Tampil Buka Mulut – “Itu Fitnah & Jatuhkan Karier Saya”

Aqilah Paharuzi