Tyzo Dakwa Ada Pihak ‘Sekat’ Rakan Penyampai Lama Hubungi Dirinya – “Sekarang Baru Tahu Siapa Kawan, Siapa Lawan”

Penyampai radio popular, Tyzo Xander mencuri perhatian wargamaya, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, 48, berkongsi sebuah tangkap layar keratan akhbar berita mengenai dirinya.

Keratan akhbar tersebut bertajuk ‘Tyzo dikecam sertai IKIMfm’.

Namun, apa yang menjadi perhatian adalah Tyzo berkata dia lupa untuk menyambung petikannya ketika diajukan soalan mengenai hubungan silaturahim atau berhubung dengan rakan lamanya di stesen radio terdahulu oleh media tempoh hari.

Tyzo yang kini penyampai IKIMfm mendakwa ada pihak yang meminta rakan-rakan penyampai terdahulu tidak lagi menghubungi dirinya terutama di media sosial.

“’Saya masih berhubung dengan rakan-rakan dahulu, tetapi tidaklah begitu kerap..’ kerana mereka telah diberitahu seseorang “Top Management” untuk tidak sesekali “Like, Comment & Share apa-apa posting saya.

“Justeru saya yakin tiada siapa yang berani Like posting ini,” dakwa Tyzo.

Apa yang menjadi perhatian lagi, bekas rakan penyampai, Shiera (Rara) turut meninggalkan komen pada posting Tyzo tersebut.

Namun, komen balas Tyzo mencuri tumpuan ramai apabila dia berkata hanya Shiera seorang sahaja yang masih berhubung dengannya.

“Kak Rara satu satunya yang masih Like, Comment, Share kisah. Yang lain tidak.

“Now baru tahu siapa kawan, siapa lawan,” balas Tyzo.

Terdahulu, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai segmen Suria Petang, berakhir selepas membuat pertimbangan menerusi tinjauan jumlah pendengar dan kewangan syarikat.

Situasi menjadi lebih hangat apabila ramai tidak berpuas hati dengan pemberhentian penyandang Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35) itu.

Untuk info, Shiera dan Tyzo bergandingan dalam segmen Suria Petang sejak 2019 lagi.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Khairil Khusyairi