Categories: Hiburan

Usanita Kukuhkan Hubungan Kreatif Malaysia & Indonesia… Erma Fatima Mahu 2 Negara Hidupkan Semula Produksi Filem Secara Usahasama

Selepas menjalin kerjasama dengan stesen radio Kool 101 dalam melahirkan ramai perintis ahli perniagaan serta melakukan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada orang ramai, Usanita Sdn Bhd mengorak langkah baharu dalam perniagaan apabila bakal menceburi indutri kreatif.

Sebagai permulaan, deligasi diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan mengadakan perbincangan dengan beberapa penerbit filem terkenal di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

“Pada 28 hingga 30 Jun lalu, kami bertemu dengan Raam Punjabi dari PT Multivision Plus; Manoj Punjabi (MD Entertainment); Deddy Mizwar (PT Demi Gisela Film dan Ketua Umum Persatuan Produser Film Indonesia – PPFI), Zairin Zein, (produser dan Setiausaha Agung PPFI) dan Ilham Bintang (Pengarah PT Bintang Advis Multimedia).

“Kami mahu memberi fokus terhadap usaha menjalin dan memperkukuh kolaborasi dengan pemimpin industri kreatif di Indonesia serta meneroka kerjasama serantau. Industri kreatif Indonesia adalah mercu tanda inovasi dan kekayaan budaya.

“Pihak kami teruja untuk meneroka peluang dan bekerjasama bagi meningkatkan lagi inisiatif Usanita yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri kreatif yang dinamik di kedua-dua negara,” katanya.

Menurut Adzliana lagi, industri kreatif adalah peluang baharu yang boleh meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli Usanita.

“Kami dikenali sebagi sebuah organisasi yang menjalankan program kebajikan dan sosial di
seluruh negara. Ia turut berperanan dalam pembinaan komuniti melalui acara yang memberi impak kepada masyarakat seperti bengkel, ekspo dan karnival keusahawanan.

“Selain memberikan bantuan kebajikan, Usanita juga aktif dalam mempromosi padanan perniagaan-ke-perniagaan dan industri kreatif adalah peluang baharu yang boleh meningkatkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli,” katanya.

Pada pertemuan tiga hari itu, turut serta penerbit, pengarah dan pelakon terkenal tempatan Erma Fatima.

Kehadiran Erma membuktikan komitmen Usanita terhadap kecemerlangan seni dan pertukaran budaya.

Erma berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia dan Indonesia menghidupkan semula produksi filem secara usahasama seperti yang dilaksanakan pada tahun 80-an dan 90-an.

“Kerjasama sebegini memberi peluang untuk kita bertukar pengetahuan agar mampu memenuhi kehendak penonton yang semakin mencabar.

“Teknologi produksi filem juga mengalami perubahan pesat dan jika bergabung, kedua-dua negara mempunyai kekuatan untuk menakluk pasaran global dengan sinergi yang betul,” katanya.

Delegasi Usanita turut melawat IDN Media dan berbincang dengan pihak pengurusan tertingginya untuk meneroka potensi kerjasama kreatif.

Perbincangan itu tertumpu kepada pembangunan bersama kandungan kreatif dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk melaksanakan projek yang inovatif dan menarik minat penonton di kedua-dua negara.

Padin