Categories: Trending

Alan Walker Umum Konsert Walkerworld Tour Esok Ditunda

Penyanyi  antarabangsa, Alan Walker mengumumkan konsert Walkerworld Tour 2024 (Walkerworld) yang sepatutnya berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon esok ditunda.

Perkara itu telah diumumkan oleh Walker menerusi sebuah hantaran di Instagram, petang tadi.

Menurutnya, konsert tersebut ditunda atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Walker bagaimana pun menyatakan bahawa konsert itu dibawa ke sebuah tarikh yang baharu.

“Kepada peminat, rakan-rakan, dan Walkers di Malaysia! Beberapa minggu kebelakangan ini, saya dan pasukan sudah bekerja keras untuk menyusun persembahan Walkerworld terbesar kami setakat ini di Kuala Lumpur, Malaysia, pada Sabtu.

“Lawatan saya ke Kuala Lumpur beberapa minggu yang lalu untuk mempromosikan persembahan ini, di mana saya juga berpeluang bertemu dengan ramai daripada anda, membuat kami lebih teruja untuk persembahan yang akan datang ini.

“Namun, dengan sangat sedih, saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa disebabkan oleh keadaan tidak dapat dijangka dan sangat malang yang sepenuhnya di luar kawalan saya serta pasukan saya, kami terpaksa menunda persembahan Walkerworld di Malaysia, tarikh yang lain dalam tahun ini,” tulisnya.

Dalam pada itu, pemuzik EDM yang terkenal dengan lagu Faded itu memaklumkan peminatnya boleh menebus semula ganti rugi tiket yang sudah dibeli sekiranya tidak mahu menunggu tarikh baharu.

“Saya minta maaf atas pengumuman yang lewat ini dan mengecewakan anda semua, tetapi saya janji kami akan menunaikan komitmen kami kepada setiap seorang daripada anda yang sudah membeli tiket untuk persembahan ini serta bersabar menunggu Walkerworld tiba di Malaysia.

“Bagi anda yang tidak mahu atau tidak dapat menunggu sehingga kami kembali, anda boleh meminta bayaran balik tiket daripada penganjur tempatan, Megatix.

“Sekali lagi, kami mohon maaf dengan setulus hati kerana tidak dapat meneruskan persembahan ini seperti yang dirancang dan diharapkan, tetapi saya benar-benar berharap dapat berjumpa dengan anda semua pada musim luruh nanti,” katanya.

Fatin Nurain