Hamil 6 Bulan & Hidap HIV, Miza Ozawa Mengaku Meny*ndal… Dipenjara Miliki Bahan L*cah

Siti Amiza Baharuddin, 27, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan mencari langganan persundalan menggunakan nama Miza Ozawa menerusi akaun Telegram pada awal Mei lalu.

Memetik laporan BH Online, tertuduh yang menjual ‘ubat kuat’ mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Namun begitu, Nurdiyanah menetapkan semula tarikh 24 Jun ini untuk fakta kes dan jatuh hukum di mana pertuduhan akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

Berdasarkan pertuduhan, Siti Amiza didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah kondominium di Bandar Bukit Mahkota, Kajang kira-kira jam 4 petang pada 6 jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Sebelum ini, Siti Amiza membuat rayuan bagi meminta denda minimum kerana sedang hamil enam bulan dan menghidap HIV.

Namun, Nurdiyanah tidak menetapkan sebarang jaminan atas pertuduhan tersebut.

Bukan itu sahaja, tertuduh juga dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) pada tarikh, tempat dan waktu sama.

Untuk pertuduhan memiliki bahan lucah, Siti Amiza didakwa mempunyai bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbitnya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan memiliki ‘ubat kuat’ tanpa kelulusan KKM, tertuduh didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita yang melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Sumber & Kredit Foto: BH Online

Atiqah Johari