Isu kanak-kanak malang, Zayn Rayyan Abdul Matiin sekali lagi mencuri perhatian apabila gambar keadaan mayatnya dipercayai ketika proses bedah siasat mula tersebar di media sosial.

Memetik laporan Harian Metro, dua gambar berkenaan dimuat naik di aplikasi telefon pintar, Telegram sejak malam tadi.

Kedua-dua gambar berkenaan memaparkan keadaan kanak-kanak berkenaan selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Sebelum ini, tular kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan di aplikasi yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN:Ibu Bapa Zayn Rayyan Mengaku Tidak Bersalah 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan penularan kertas siasatan terbabit.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, sekiranya ia kertas siasatan yang benar, pihak yang menyebarkannya perlu diambil tindakan berikutan kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah.

“Tindakan pihak-pihak tertentu memasukkan perkara seperti ini (kertas siasatan) dalam Telegram umpamanya, tidak diketahui sama ada maklumat itu (kertas siasatan) betul atau tidak, sama ada direka atau dibuat-buat,”katanya.

Sebelum ini, ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang berusia 29 tahun itu dilaporkan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

ARTIKEL BERKAITAN:Kes Zayn Rayyan: Ibu Mangsa Hanya Beri Keterangan, Tak Buat Sebarang Pengakuan

ARTIKEL BERKAITAN:Datuk Dan Nenek Zayn Rayyan Ditahan Polis 

Salma Syahbuddin