Bina Semula Simpanan, Ahli KWSP Perlu Kerja Tambahan Sehingga 6 Tahun?

Pelaksanaan beberapa inisiatif kerajaan dalam membantu kelangsungan hidup rakyat dalam fasa pandemik amat dialu-alukan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini termasuklah, pengeluaran wang simpanan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, impak pengeluaran simpanan ini menyebabkan seramai  3.6 juta ahli KWSP direkodkan mempunyai simpanan kurang RM1,000, manakala 6.1 juta lagi kurang RM10,000.

Justeru itu,  pihak Kementerian Kewangan Malaysia dalam  jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pandan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan, pengeluaran  i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra menjadi penyebab utama simpanan ahli berkurang.

Mengulas lanjut, KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun secara tambahan bagi membina semula simpanan dikeluarkan semasa pandemik.

Pengurangan simpanan ini sekaligus mencetuskan kebimbangan apabila 78 peratus atau lebih tiga perempat yang memohon inisiatif berkenaan merupakan ahli Bumiputera.

“Kerajaan bersama KWSP sedang berusaha membantu ahli membina semula simpanan mereka demi masa depan persaraan.

“Pendirian kerajaan kekal dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial untuk Keluarga Malaysia, termasuk melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia seperti diumumkan dalam Bajet 2020.

“Dalam memperkasa agenda perlindungan sosial, Majlis Perlindungan Sosial Malaysia dipengerusikan Perdana Menteri, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara,” katanya.

 

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin