Kecoh Trend Childfree, Ini Pencerahan Pejabat Mufti

Umum mengetahui perancangan anak termasuk dalam konteks keperluan individu berkeluarga antara suami dan isteri. Hal ini difahami bahawa persetujuan suami isteri untuk tidak memiliki zuriat juga merupakan hak peribadi yang tidak dapat dipaksa oleh siapapun.

Tidak dapat dinafikan setiap pasangan lebih mengetahui hal ehwal keadaan keluarga, kemaslahatan rumah tangga masing-masing.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat. Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak.

Berdasarkan penelitian, pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak atau childfree adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khusus buat pasangan tersebut.

Childfree ialah pilihan individu atau pasangan untuk tidak memiliki anak dan persetujuan ini berlaku sama ada sebelum atau semasa perkahwinan. Sebahagian menyatakan istilah childless berbeza dengan childfree yang membawa maksud individu atau pasangan yang ingin memiliki anak namun tidak dikurniakan anak atas sebab biologi dan sebagainya.

Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan. Hukum pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak ini adalah mengikut pertimbangan pada sebab dan keadaan seperti berikut:

i. Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak.

ii. Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Malahan, bagi golongan yang mengambil keputusan tersebut kerana terpengaruh dengan kefahaman childfree, sehingga menjadikannya sebagai gaya hidup terbaik yang bebas daripada sebarang tanggungjawab dan juga sebagai prinsip hidup yang menafikan fitrah manusia, maka ia merupakan satu fahaman dan budaya yang bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan bahkan tidak bertepatan dengan Sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam yang berkualiti.

iii. Manakala, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram.

Dinasihatkan agar pasangan yang ingin berkahwin atau pasangan yang berhasrat untuk membuat perancangan keluarga bahawa kewujudan anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya.

Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya.

Tambahan pula, meskipun keputusan untuk memiliki anak ini merupakan hak kebebasan peribadi suami dan isteri, jika fenomena ini berleluasa dalam kalangan masyarakat maka ia akan mengganggu keseimbangan aturan Alam yang diciptakan Allah SWT dan mengganggu kestabilan sesebuah negara.

Wallahua’lam

Pautan artikel penuh JMWP: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/5940-bayan-linnas-siri-ke-297-childfree-by-choice-menurut-perspektif-syarak

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Soal Status Hadis Riwayat Cinta Pertama Rasulullah SAW, Ini Pencerahan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan  

ARTIKEL BERKAITAN: Trend Busana Pengantin Perempuan Islam Seksi & Mencolok Mata, Ini Kata Mufti 

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Khairil Khusyairi